Terlebih dahulu, saya berpendapat, sudah ramai yang terkeliru dengan tulisan artikel yang ditulis oleh Puan Kamariah mengenai isu susu lain selepas 2 tahun. Ya, saya adalah diantara orang-orang yang menyokong penuh usaha memperjuangkan Susu Ibu ini dan diantara yang juga menentang keras propaganda yang dilakukan oleh syarikat-syarikat pengeluar Susu Formula ini. Namun tidaklah bermakna saya juga memandang serong terhadap ibu-bapa yang memilih susu formula untuk anak mereka, saya menghormati pilihan yang dibuat oleh ibu bapa tersebut. Namun sebagai salah seorang aktivis penyusuan saya akan tetap menyebarkan apa yang terbaik mengenai susu ibu dan apa yang salah mengenai ancaman terhadap penyusuan ibu sendiri.
Berbalik kepada isu yang sering di salah anggap oleh sesetengah pihak ini. Pada pendapat saya, apa yang cuba dikupas oleh puan Kamariah didalam penulisannya adalah lebih kepada trend memberi susu bagi menggantikan budaya pemakanan seimbang kepada anak-anak pada masa kini setelah 2 tahun atau setelah selesai tempoh penyusuan ibu itu sendiri. Iklan-iklan yang sering kita tonton dan lihat di media hampir setiap masa dan ketika tentang adanya susu untuk setiap peringkat umur kanak-kanak, sebagai contoh ‘Langkah 1-2-3 malah 4-5-6’ secara tidak langsung mempengaruhi minda kita bahawa anak kita memerlukan susu tepung tersebut untuk tumbesaran yang sempurna walaupun setelah selesai tempoh penyusuan ibu. Malah iklan susu tepung ini tidak terhenti setakat kanak-kanak sahaja, ibu mengandung malah untuk orang-orang tua yang berumur 50 tahun ke atas pun disogokkan dengan keperluan untuk meminum susu yang di formula kan ini.
Ya, tidak dinafikan sebagai manusia, kita memerlukan kalsium sebagai salah satu sumber nutrien untuk badan kita dan sumber kalsium yang paling tinggi dan mudah didapati adalah dari produk tenusu. Namun tidak semestinya untuk mendapat tulang yang sihat kita perlu meminum susu formula. Bukan kah yang lebih baik adalah untuk memilih susu yang lebih semulajadi iaitu susu segar? Bukannya susu yang diproses, melalui pelbagai kaedah penapisan untuk menjadikan ia sejenis tepung. Bukankah ianya lebih mudah untuk melalui proses pencemaran? Dan ianya telah terbukti dengan pelbagai berita mengenai pencemaran susu formula yang kita dengar di media masa. Jangan kerana kita bersikap ‘oh itu jenama yang tidak ternama’ dan sebagainya, kita perlu ingat proses dan caranya adalah sama dan risikonya tetap ada walau setinggi mana sesebuah jenama itu. Di sinilah sebenarnya isi tersirat yang ingin saya kupaskan disebalik penulisan diartikel tersebut.
Kini, syarikat-syarikat pengeluar susu formula ini telah berjaya menghasilkan satu trend jalan pintas untuk mengatasi masalah anak yang cerewet untuk makan. Susu pelengkap yang kononnya sering digambarkan dapat menggantikan seluruh khasiat dalam piramid makanan menjadi ‘penyelamat’ bagi ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang cerewet makan. Tidakkah kita terfikir bahawa dengan segala bagai sogokan dan momokan yang kita terima dan lihat di media-masa sebenarnya secara tidak langsung telah mempengaruhi cara & minda kita berfikir dalam melihat sesuatu. Kebanjiran susu formula malah susu pelengkap ini telah menjadikan kita tidak lagi kreatif untuk mencuba pelbagai kaedah untuk menyediakan makanan yang seimbang untuk anak-anak. Alternatif kepada susu formula & susu pelengkap ini adalah dilihat sebagai satu jalan pintas untuk memenuhkan perut anak-anak. Kadang-kala kita perlu bawa diri kita dan renungkan kembali zaman di masa ketiadaan susu-susu pelengkap ini.
Sebagaimana kita cuba untuk menjauhkan makanan seperti makanan segera, makanan yang diproses dan sebagainya. Kenapa pula kita tidak melakukan yang ini? Jadi, kembalilah kepada yang lebih semula jadi sebagai salah satu amalan seharian kita.
Saya: Bukan lah anti kepada susu lembu, malah saya dan anak yang berusia 2 tahun lebih juga minum susu pada setiap hari, namun saya cenderung untuk memilih susu segar sahaja. :)
*Propaganda syarikat pengeluar susu:
-Dari entri International Baby Food Action Network (IBFAN)
-http://www.babymilkaction.org/
-http://www.waronwant.org/attachments/THE%20BABY%20KILLER%201974.pdf